Jangan sangka kerana sesebuah filem itu diterima ramai, ia bermaksud filem tersebut filem yang bagus, dan jangan pula sangka filem yang tidak laris di panggung itu bermakna filem tersebut tidak berkualiti.
Adakalanya apa yang disukai dan apa yang berkualiti tidak berada di tahap yang sama. Adakalanya filem yang tidak bagus mendapat sambutan ramai kerana ia mempersembahkan apa yang umum mahukan tapi tidak cukup berkualiti sehingga golongan pengkritik mahu menerimanya, sementara yang berkualiti pula ditolak kerana menyampaikan sesuatu yang anda tidak mahu fikirkan tapi dianggap pengkritik sebagai filem yang inovatif atau mempunyai mesej unik yang ingin disampaikan.
Antara contoh filem teruk yang laris dan filem bagus yang gagal di pawagam termasuk:
Filem teruk yang berjaya mendapat kutipan pecah panggung:
Stars Wars: Episode 1 - The Phantom Menace (1999)
Filem prekuel "Star Wars" ini berjaya menjana AS$475 juta (RM1.55 billion) melalui kutipan pecah panggung apabila ia ditayangkan pada Mei 1999. Sekalipun dengan jumlah yang begitu hebat, perkara yang sama tidak boleh dikatakan tentang penerimaan penonton dan para pengkritik.
Bukan sahaja trilogi awal Lucas ini dianggap membosankan, "The Phantom Menace" dianggap sebagai filem "Star Wars" yang paling teruk, dengan kewujudan karakter yang menjengkelkan seperti Jar Jar Binks dan Anakin Skywalker itu sendiri.
The Twilight Saga:
New Moon (2009)
Siri novelnya menerima kritikan hebat. Plotnya dipersoalkan. Moral ceritanya ditolak oleh sebahagian besar orang ramai yang merasakan kisah percintaan pontianak ini tidak mengajar gadis remaja untuk menjadi wanita yang lebih berdikari.
Apabila filemnya ditayangkan, kritikan tersebut menjadi lebih hebat, apatah lagi dengan lakonan Kristen Stewart dan Robert Pattinson yang dianggap tidak berkesan. Filem seterusnya, "New Moon" yang ditayangkan pada tahun 2009 menjadi bahan kutukan yang lebih hebat kerana menonjolkan watak Bella Swan sebagai gadis remaja yang mudah terpengaruh dan tidak tahu apa yang dia perlukan. Malah hampir 40 minit dari filem tersebut dipenuhi babak Bella menangis dan bersedih. Namun begitu, filem tersebut berjaya meraih AS$296 juta (RM965 juta), dan itu baru di Amerika saja! Jelas sekali, walaupun ia menjadi bahan kritikan dan ejekan orang dewasa, para peminat remaja "Twilight" lebih berkuasa.
Pirates of the Caribbean:On Stranger Tides (2011)
Ya, "Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl" merupakan sebuah filem pecah panggung, apatah lagi bila sudah lama filem berunsur lanun tidak diterbitkan. Ia menaikkan lagi populariti Johnny Depp di mata dunia, dan menjadikan Jack Sparrow watak ikonik.
Namun selepas tiga buah filem, pihak Disney mahukan keuntungan yang lebih lagi. Sekalipun Orlando Bloom dan Keira Knightley, dua dari pelakon utama trilogi asal enggan kembali untuk filem keempat, persetujuan Johnny Depp dianggap sebagai satu petanda bahawa filem keempat harus dihasilkan!
Ya, filem tersebut berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak AS$241 juta (RM786 juta) di AS ketika ditayangkan pada tahun 2011, tapi dari sudut kualiti, filem tersebut berada di tahap yang agak teruk. Ramai yang sudah mula bosan dengan telatah Jack yang sudah jadi makin menjengkelkan berbanding lucu, plot cerita yang membabitkan lanun legenda, Blackbeard terlalu remeh jika dibanding dengan antagonis Davy Jones dalam filem kedua, dan 'love interest' Jack Sparrow lakonan Penelope Cruz dianggap agak berlebihan.
Transformers: Revenge of the Fallen (2009)
Ramai yang ternanti-nantikan filem "Transformers" ketika Steven Spielberg mengumumkan bahawa mereka bakal menerbitkan animasi dan permainan tersebut ke layar lebar. Hasilnya? Sebuah filem hebat yang berjaya mengungguli carta Top 10 filem tahun 2007.
Namun begitu, nampaknya pihak studio dan pengarahnya Michael Bay tidak sabar hendak mengutip lebih banyak keuntungan, lalu menghasilkan sekuelnya, "Revenge of the Fallen" hanya dua tahun selepas filem pertama. Para peminat terus termakan umpan dan menyebabkan filem tersebut berjaya meraih AS$402 juta (RM1.3 billion) di AS.
Adakah filem sekuelnya sebaik yang pertama? Michael Bay dan Shia LaBeouf sendiri mengakui plot filem tersebut tidak masuk akal.
Pearl Harbor (2001)
Ketika ia ditayangkan, Michael Bay berkata filem ini bakal menjadi "Titanic" yang kedua. Ia tidak berjaya sampai ke tahap itu, tapi masih mampu mendapatkan AS$198.5 juta (RM647 juta) selepas tayangannya di AS pada 2001.
Malangnya, "Pearl Harbor" tidak seperti judulnya langsung. Ia bukan benar-benar berkisar tentang pengeboman Pearl Harbor, tetapi hanya latar kepada kisah cinta tiga segi lakonan Kate Beckinsale, Ben Affleck dan Josh Hartnett. Bukan sahaja banyak kesilapan dari sudut teknikal dan sejarah Pearl Harbor untuk filem yang menggunakan nama pelabuhan tersebut, malah plot sebenarnya tentang cinta tiga segi itu pula tidak banyak berbeza dengan filem Bollywood, "Sangam" lakonan Raj Kapoor, Vyjayanthimala dan Rajendra Kumar yang ditayangkan 37 tahun sebelum itu!
Filem bagus yang gagal:
The Insider (1999)
Filem yang dibuat dengan bajet AS$90 juta (RM293 juta) ini hanya meraih AS$29.1 juta (RM98.5 juta) di Amerika dan AS$31.2 juta (RM101,7 juta) di seluruh dunia. Namun begitu, filem Michael Mann ini mendapat pujian menyeluruh dari para pengkritik filem yang menyukai cara Mann menterjemah watak-watak insan profesional yang kecewa menghadapi rasa bersalah dan paranoia.
Namun begitu, mungkin para peminat filem tidak berminat untuk menontonnya disebabkan filem tersebut berlatarkan kisah benar – yakni tentang seorang tukang adu industri bernama Jeffrey Wigand (lakonan Russell Crowe) yang dipengaruhi penerbit televisyen Lowel Bergman (lakonan Al Pacino) untuk muncul dalam rancangannya, "60 Minutes" di saluran CBS.
Walau apa pun, filem ini berjaya meraih tujuh pencalonan di Anugerah Academy 2000 termasuk Lakon Layar Terbaik, Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.
The Shawshank Redemption (1994)
Sebuah lagi filem yang menerima tujuh pencalonan Oscar, "The Shawshank Redemption" yang diadaptasi dari novel mini karya Stephen King ini tidak berjaya menarik perhatian penonton ketika ia ditayangkan pada tahun 1994, malah hanya mampu meraih AS$28 juta (RM91.2 juta) di pawagam berbanding bajet produksi sebanyak AS$25 juta (RM81.5 juta).
Namun begitu, filem ini juga meraih tempat pertama dalam senarai Top 250 dalam carta IMDB, dan seringkali disebut sebagai filem terbaik pernah dihasilkan kerana kisahnya yang menyentuh hati, lakonan cemerlang dari barisan pelakon seperti Tim Robbins dan Morgan Freeman, plot cerita yang tidak membosankan malah runut bunyi yang hebat.
Sehingga kini, ramai yang tidak mengerti kenapa filem ini gagal di pawagam ketika ia ditayangkan.
The Iron Giant (1999)
Filem animasi arahan Brad Bird ini diberi markah sebanyak 97 peratus di laman sesawang Rotten Tomatoes, malah Roger Ebert, pengkritik filem paling disegani di AS memuji filem ini kerana mempunyai mesej yang tersendiri, malah laman sesawang IGN menggelarnya "filem animasi bukan Disney terbaik".
Namun begitu, filem lakon suara Vin Diesel, Harry Connick Jr. dan Eli Marienthal ini gagal meraih kutipan cemerlang di pawagam, malah gagal, apabila ia hanya berjaya meraih lebih kurang AS$30 juta (RM97.8 juta) berbanding bajet yang dikeluarkan dianggarkan sebanyak AS$70 juta (RM228 juta). Ramai yang berpendapat kisah robot angkasa lepas yang hilang ingatan ini lebih difahami orang dewasa berbanding kanak-kanak dan tidak ada karakter comel yang boleh menarik perhatian.
Scott Pilgrim vs. The World
Entah di mana silapnya. Mungkin gaya penceritaannya yang eksentrik masih belum boleh diterima ramai, atau mungkin Michael Cera bukan bintang yang anda mahu lihat sebagai teraju utama. Namun begitu, filem yang diadaptasi dari novel grafik karya Bryan Lee O'Malley ini hanya berjaya memungut AS$47.6 juta (RM155 juta) berbanding bajet produksinya yang memakan lebih kurang AS$90 juta (RM293 juta) (AS$60 juta (RM195,5 juta) selepas pengecualian cukai).
Para penonton mungkin masih belum bersedia untuk filem yang seakan permainan video ini, namun begitu, ia mendapat sambutan hangat di kalangan pengkritik dan sebahagian peminat filem yang mungkin pernah membaca karya O'Malley atau sukakan kelainan. Atau ramai yang masih belum memahami filem bergenre ironi seperti filem ini.
Namun begitu, filem arahan Edgar Wright ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri sehingga kini.
Cloud Atlas (2012)
"Membingungkan!" itu reaksi rata-rata penonton yang ke pawagam untuk menonton filem adaptasi novel pemenang anugerah karya David Mitchell ini. Akibat kebingungan itu dan kegagalan memahami konsep yang menyatukan semua watak, filem tersebut hanya meraih AS$130 juta (RM424 juta) di pawagam. Mungkin nampak seperti banyak, tetapi bila ditolak dari bajet asal sebanyak AS$102 juta (RM332,4 juta), pulangannya tidak begitu memberangsangkan.
Namun begitu, filem arahan Tom Tykwer dan Wachowski Bersaudara ini mendapat pujian yang hebat dari pihak pengkritik filem dengan Roger Ebert menggelarnya, "Antara filem yang paling hebat pernah dihasilkan" sementara majalah atas talian The Daily Beast pula mengatakan bahawa "Cloud Atlas" merupakan filem yang paling penting 2012.