BEKAS ATLET TOMOI ANTARA 3 TERBUNUH KEMALANGAN NGERI
Tiga terbunuh termasuk bekas atlet tomoi kebangsaan dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 84.5, Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu dekat Kampung Bintang, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta jenis Volkswagen Golf, Mohd Zuhairi Jusoh dan penumpang hadapan, Nik Zul Ehsanudin Mohamad, masing-masing berumur 23 tahun serta berasal dari Kampung Pengkalan Nyireh, Besut.
Seorang lagi yang terbunuh ialah penumpang wanita kereta Toyota Vios, dikenali Nik Rafizan Nik Muhammad, 28, berasal dari Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan, manakala pemandu kereta tersebut, Nur Elina Abdullah, 25, hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Abd Rahman Raja Mohamad berkata, kereta dinaiki dua wanita terbabit dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu.
Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Mohd Zuhairi yang datang dari arah Kota Bharu dikatakan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan keretanya bertembung dengan kereta dipandu Nur Elina.
“Pemandu dan penumpang kereta Volkwagen Golf meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Menurut Abd Rahman, Nik Rafizan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Setiu. Sementara itu, Nur Elina pula dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, kedua-dua wanita terbabit berasal dari Kota Bharu dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu.
Manakala Mohd Zuhairi yang pernah beberapa kali mewakili negara dalam kejohanan tomoi bersama rakan karibnya dalam perjalanan dari Jertih ke Cherating.
Abd Rahman berkata, kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Category:
0 comments:
Post a Comment