Ads 468x60px

Saturday 20 July 2013

Malang Berganda, Guru sebab anak mati tinggal dalam kereta mungkin didakwa

Nawal Iris Samsudin

KUALA LUMPUR: Ibu bapa atau penjaga yang cuai dalam penjagaan anak mereka boleh didakwa di mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

 Beliau berkata sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

 “Sekarang ini sudah terlampau banyak kes kecuaian, tinggalkan anak di dalam kereta…ibu bapa tidak belajar daripada pengajaran, kita harap perkara ini akan jadi teladan dan tidak berulang lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 300 penghuni Rumah Anak Yatim dan Ibu Tunggal Rumah Perlindungan Nur Kasih di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas insiden seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun Nawal Iris Samsudin maut akibat lemas setelah ditinggalkan tanpa sengaja oleh ibunya selama lebih lima jam dalam kereta di tempat letak kereta sebuah sekolah di Subang Jaya di sini, Khamis.

Nawal Iris Samsudin, yang tertidur di kerusi belakang kereta, ditemui ibunya Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.

Rohani berkata kejadian itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia merupakan tugas dan tanggungjawab ibu dan bapa dalam memastikan anak mereka mendapat penjagaan yang baik. 

“Kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja, hal seperti ini perlu diingatkan selalu, saya berasa amat sedih dan bersimpati kerana kejadian ini merupakan satu kecuaian,” katanya.

 Justeru, beliau berkata kementerian akan berbincang dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk menambah modul baru di dalam kursus keibubapaan yang dianjurkan lembaga itu bagi mengelakkan insiden kecuaian berlaku lagi sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian anak. 

Sementara itu, mengenai dua pasangan muda yang sanggup tinggal di bawah jejambat di tepi Sungai Klang bersama bayi perempuan berusia empat bulan, Rohani berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberi bantuan RM300 kepada mereka serta sumbangan barangan keperluan bayi seperti lampin pakai buang, botol susu dan pakaian.

 “Baitulmal juga telah menghulur wang pendahuluan RM5,000 sebagai deposit untuk menyewa rumah dan ibu bapa mereka juga sudah datang ke Kuala Lumpur bagi menjaga bayi mereka,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Recent Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...