Jiwa Kacau,Lelaki bunuh isteri, 2 anak
Akibat tertekan dengan hutang keliling pinggang, seorang lelaki bertindak kejam memukul bertubi-tubi isteri dan dua anaknya menggunakan buluh sebelum melemaskan mereka menggunakan gas memasak di Pulau Li Hua di sini hari ini. Dalam kejadian pukul 10.30 pagi ini, mayat Ling Yung Ming, 40; Christine Tiang Soon Ai, 14, dan Victor Tiang Soon Sheng Tai, 2, ditemui terbaring dengan kesan lebam di seluruh anggota badan dalam bilik tidur di tingkat atas rumah banglo itu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zulkifli Hassan berkata, suspek berusia 43 tahun yang merupakan kontraktor Kelas D itu dipercayai memukul kesemua mangsa sehingga lembik menggunakan sebatang buluh. "Suspek kemudian turun ke tingkat bawah dan mengambil tong gas masak di dapur rumah itu ke tingkat atas sebelum melepaskan gas tersebut untuk melemaskan kesemua mangsa. "Bagaimanapun dalam kejadian itu, anak sulung suspek, Vincent Tiang Soon Thai, 17, berjaya menyelamatkan diri dengan terjun dari tingkap rumah dan berjaya meminta pertolongan daripada jiran," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Zulkifli berkata, hasil soal siasat terhadap remaja lelaki itu mendapati suspek melarikan diri menggunakan pacuan empat roda dan pihaknya telah mengenal pasti butir-butir peribadi suspek. Katanya, setakat ini polis masih menyiasat motif kejadian dan mengesyaki suspek mempunyai masalah hutang berlebihan. Beliau ketika dihubungi malam ini memberitahu, suspek berjaya ditahan di Bintulu, kira-kira 200 kilometer dari rumahnya pukul 7.50 malam. "Anak suspek yang terselamat masih trauma dan kini di bawah perlindungan polis manakala kesemua mayat tiga beranak itu dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat. "Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan," katanya.
Category:
0 comments:
Post a Comment