Ads 468x60px

Thursday, 15 August 2013

‘Makcik Harap Dia Mati Juga’




KUALA KRAI –“Makcik harap dia mati juga,” luah ibu kepada Mohd Yusrizal Mat Zain yang maut selepas mengambil bungkusan di atas MPV yang terletak di hadapan rumah mertuanya di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk, Ahad lalu.

 Supiah Mad Nor, 63, berharap pihak yang bertanggung jawab meletakkan bahan letupan itu menerima hukuman setimpal sehingga menyebabkan anaknya meninggal dunia dalam keadaan begitu menyentuh hati mereka sekeluarga.

 Katanya, dia pasrah umur anaknya tidak panjang tetapi kecewa dengan cara kematian anak kelima daripada lapan beradik itu. Supiah berkata, dia begitu terasa kehilangan anaknya dan mengakui rindukan arwah tetapi pasrah dengan ketentuan Ilahi.

 Supiah berkata, menantu, Dayan Edayu Mohamad Nawi, 26, dan cucunya, Dhia Rayyani Aisfrina, 4 bulan menjadi pengubat kerinduannya kepada arwah anaknya dan amat berharap mereka berdua terus tinggal bersamanya selepas ketiadaan Mohd Yusrizal.

 “Makcik sayang menantu (Dayan Edayu) , dia baik, makcik tidak anggap dia sebagai menantu sebaliknya seperti anak sendiri. “Makcik harap dia akan tinggal dengan kami, dapatlah makcik jaga cucu seperti sebelum ini, tapi semua keputusan bergantung kepada dia,” katanya yang baru mengetahui seorang lelaki ditahan berikutan kes berkenaan.

 Sementara itu, Dayan Edayu memberitahu Sinar Harian dia mendapat tahu berita penahanan seorang lelaki yang terlibat dalam kes suaminya pagi semalam selepas terbaca di surat khabar. Katanya, dia seperti ibu mentuanya mahu penjenayah terlibat menerima hukuman setimpal dengan apa yang telah dilakukannya. 

Tambahnya, selepas jenazah suaminya dibawa pulang ke Kampung Kenor, dia masih tinggal di rumah mentuanya dan masih belum membuat keputusan sama ada tinggal bersama mentuanya atau sebaliknya. 

Difahamkan seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di Tumpat kelmarin bagi membantu siasatan. Ahad lalu, Mohd Yusrizal, 32, kerani Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru maut dalam keadaan menyayat hati selepas cuba mengambil bungkusan yang diletakkan di atas bumbung MPV di hadapan rumah mentuanya.


No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Recent Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...