Ads 468x60px

Wednesday, 7 August 2013

Amalan sunah di Aidilfitri



HARI Raya Aidilfitri merupakan hari yang penuh dengan kegembiraan bagi seluruh umat Islam. Ini kerana pada hari itu segala keampunan dan rahmat daripada Allah diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Hari yang mulia ini merupakan hari kemenangan umat Islam yang telah menumpaskan godaan nafsu sehingga mereka berjaya menamatkan perjuangan melakukan ibadah puasa, solat tarawih, tadarus al-Quran dan ibadah-ibadah yang lain.

 Menjelang Aidilfitri umat Islam bagaikan bayi yang baru dilahirkan oleh ibu mereka dalam keadaan fitrah dan bersih daripada segala dosa. Aidilfitri juga hari merayakan kebesaran Tuhan dan hari mentauhidkan keesaan-Nya.

 Maka di mana-mana kita lihat rata-rata umat Islam menyambut dan merayakan Aidilfitri dengan gema takbir yang membesarkan Allah dan tahlil mentauhidkan-Nya.

Kebesaran Allah dapat dilihat melalui rahmat dan maghfirah-Nya pada bulan Ramadan dan anugerah lailatulqadar yang cukup istimewa.

 Sebelum kedatangan Islam, orang-orang jahiliah dahulu juga menyambut hari raya mereka dengan cara yang tersendiri.

Mereka meraikannya dengan berbagai-bagai kemaksiatan seperti minum minuman keras dan menyembah patung berhala.

 Setelah kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, hari raya itu diganti dengan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Rasulullah bersabda:

“Dahulu kalian mempunyai dua hari yang kalian melakukannya untuk bersenang-senang dan sungguh Allah telah menggantikan kedua-duanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.”

Solat Aidilfitri buat kali pertama disyariatkan pada tahun pertama Hijrah, namun Rasulullah baru dapat melakukannya pada tahun kedua Hijrah. Hukum mendirikan solat sunat ini menurut Mazhab Syafie dan Mazhab Maliki sunat muakad yakni sunah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah.

 UMAT Islam perlu menghiasi malam raya dengan alunan takbir yang memuji kebesaran Ilahi sempena meraikan kemenangan berpuasa pada bulan Ramadan.

 Ibnu Abbas meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: “Apabila datang Hari Raya Aidilfitri, para malaikat berbondong-bondong turun ke atas permukaan bumi dan berdiri di sebuah tempat sambil berkata yang dapat didengari oleh seluruh makhluk ciptaan Allah kecuali manusia dan jin:

 ‘Wahai umat Nabi Muhammad! Keluarlah kalian menuju kepada Tuhan Yang Maha Pemurah dan mengampuni daripada segala dosa, apabila mereka bergerak dan berada di tempat solatnya, Allah berfirman kepada para malaikat-Nya:

‘Wahai para malaikatku! Apakah balasan bagi seorang hamba yang telah menyelesaikan pekerjaannya? Para malaikat menjawab:

‘Wahai Tuhan dan Pemimpin kami, selayaknya baginya untuk diberikan ganjaran. Allah berfirman:

‘Saksikanlah oleh kalian!

Sesungguhnya Aku memberi pahala bagi mereka yang berpuasa dan solat. Reda serta ampunan-Ku untuk mereka, berlalulah, kalian telah Aku ampuni.”

 Ketika meraikan hari raya, kita hendaklah melakukan dan meninggalkan beberapa perkara yang telah diterangkan oleh Rasulullah seperti:

* Diharamkan berpuasa pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha Seperti yang disebutkan oleh Rasulullah: “Sesungguhnya dilarang berpuasa pada dua hari raya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

 * Membersihkan diri dan mandi sebelum pergi ke masjid Sa’id bin Jubair berkata: “Sunah-sunah Eid itu ada tiga perkara, berjalan kaki ketika menuju ke masjid, mandi sebelum solat dan makan setelah waktu Subuh.” Imam Nawawi mengatakan: “Seluruh ulama bersepakat sunahnya mandi sebelum solat Aidifitri.” DISUNATKAN memakai pakaian baharu bagi menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang diperoleh.

 * Makan beberapa biji kurma dalam jumlah ganjil sebelum ke masjid Sebelum ke masjid untuk mendirikan solat sunat Aidilfitri, kita digalakkan makan terlebih dahulu manakala pada Hari Raya Aidiladha, disunatkan tidak makan sebelum ke masjid. – Riwayat Bukhari

 * Bertakbir pada waktu terbenamnya matahari iaitu masuk waktu solat Maghrib hingga keluarnya imam menuju ke mimbar pada keesokan hari Banyak riwayat daripada Nabi Muhammad dan perkataan para sahabat yang memerintahkan untuk menghiasi malam hari raya dengan bertakbir kepada Allah. Muhammad bin Syihab al-Zuhri berkata: “Kami sentiasa bertakbir sejak melangkahkan kaki menuju ke masjid sehingga keluarnya imam.” Selain itu, malam Hari Raya Aidilfitri merupakan waktu yang paling baik untuk berdoa. Imam Syafie pernah mengatakan: “Ada lima malam yang doa seorang hamba itu cepat dikabulkan oleh Allah iaitu malam Hari Raya Aidilfitri, malam Hari Raya Aidiladha, malam Jumaat, malam awal Rejab dan malam Nisfu Sya’aban.”

 * Mengucapkan tahniah kepada sesama saudara Muslim Dianjurkan kita mengucapkan tahniah sesama kaum keluarga dan rakan seagama kerana telah berjaya melaksanakan ibadah selama sebulan pada bulan Ramadan. Pengucapan selamat ini telah mula dilakukan sejak zaman sahabat.

 * Memakai pakaian yang bagus atau baharu Jika berkemampuan, pakailah pakaian yang baik dan elok serta memakai minyak wangi sebagai penghormatan pada hari yang mulia ini. Ia merupakan tanda syukur dengan memperlihatkan nikmat yang telah diberikan oleh Allah.

 * Disunatkan untuk solat Aidilfitri berjemaah Pada pagi Syawal, kaum lelaki, wanita, orang musafir dan kanak-kanak disunatkan mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Bagi wanita yang haid, mereka boleh duduk di luar masjid.


No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Recent Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...