Ads 468x60px

Thursday, 25 July 2013

Opick pernah dilamar wanita ?



OPICK atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus merupakan nama besar dalam industri muzik Indonesia, terutamanya lagu berkonsep ketuhanan.

 Bertemu sendiri dengan penyanyi ini pada pelancaran album kesembilannya yang berjudul Ya Maulana di Restoran Hadramawt, Kuala Lumpur baru-baru ini, orangnya cukup ramah. Penampilannya juga cukup sederhana.

Memadai memakai kain sarung dan berserban putih, tutur katanya juga tersusun rapi, sesekali bercanda dengan pihak media. Walaupun berstatus penyanyi lagu ketuhanan tetapi diakui, ramai yang menghormati keperibadian Opick lebih daripada itu.

Ada yang menganggapnya seperti ustaz dan menawarkannya untuk membuat ceramah tetapi ditolaknya dengan baik.

 "Saya bukan ustaz tetapi penyanyi. Jika diminta untuk memberi ceramah motivasi, saya tidak keberatan. Namun, jika ceramah agama saya tidak mahu, lebih ramai orang yang bijaksana dan tinggi ilmu agamanya daripada saya," katanya jujur.

 Ditebak mengapa tidak mengambil peluang untuk berceramah sedangkan itu merupakan salah satu cara untuk berdakwah. Jawabnya:
"Kalau saya berceramah, saya sudah seperti ustaz, nanti ramai yang protes atau mempersoalkan kenapa ustaz menyanyi? "Jadi, saya lebih selesa bergelar seniman. Mudah untuk saya masuk ke mana-mana saluran, hiburan boleh, dakwah pun boleh juga." Bukan itu sahaja, suami kepada Dian Rosita, 30, dan bapa kepada empat cahaya mata itu juga pernah dilamar oleh beberapa wanita yang sudi menikahinya walaupun sedar statusnya sebagai suami orang.

 "Godaan itu banyak termasuk ada yang mengajak saya bernikah. Perkara ini memang berlaku tetapi wanita-wanita yang mengajak saya bernikah sekarang hanya mengenali diri saya yang sudah popular dan berimej sopan dengan serban.

 "Kalau mereka bertemu ketika saya masih berambut panjang, menyanyi lagu rock, bekerja hanya sebagai pembersih studio muzik dan tidak mempunyai wang rasanya mereka mahu atau tidak mengajak saya kahwin?

 "Pastinya tidak, satu-satunya wanita yang mahu menikahi saya ketika itu hanyalah isteri saya sahaja. Dia sahaja yang mahu saya walaupun saya tidak popular dan mempunyai wang," ceritanya panjang lebar. 

OPICK cukup bersyukur kerana kehadirannya diterima baik oleh semua peminat. Godaan Opick Selain diajak kahwin, Opick juga banyak menerima godaan apabila ramai wanita yang cuba meluahkan perasaan dan masalah kepadanya.

 Bagaimanapun, Opick mempunyai cara yang terbaik untuk menghalang hubungan melebihi batas antara peminat wanitanya dengan dirinya.

 "Ada yang datang cuba meluahkan perasaan dan masalah masing-masing. Senang sahaja, saya katakan pada mereka, jangan curahkan masalah hati pada saya tetapi curahkan pada Allah sahaja.

 "Saya cuba menjaga batas hubungan antara peminat. Bukan apa, saya takut mungkin pada mulanya saya hanya mendengar masalah tetapi lama-lama mungkin orang itu suka pada saya dan saya juga suka pada dia. Itu sudah masalah besar, saya tidak mahu jadi begitu," katanya.

 Bercakap tentang poligami, kata Opick jodoh yang ditentukan oleh Allah tidak dapat diramal tetapi sehingga ke hari ini dia hanya setia pada isterinya seorang. Bahkan, pada majlis pelancaran album itu, Opick turut membawa isterinya sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.

 "Kebetulan tarikh ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada tanggal 15 Julai, jadi saya ajak sekali isteri untuk berkunjung ke Kuala Lumpur.

 "Kami hanya berada di Kuala Lumpur sehari sahaja, selepas pulang ke Indonesia, jadual saya cukup padat dengan aktiviti promosi album di beberapa kota," balasnya.

 Kehidupan berubah Bercerita lanjut mengenai masa silamnya, Opick menjelaskan, sebelum ini dia terpesong cukup jauh. Dia bergaul dengan orang yang mengamalkan seks bebas, mengambil dadah dan mengusung muzik rock yang liriknya berkisar tentang protes terhadap kerajaan.

 Namun, selepas memperoleh hidayah dan diajak oleh seorang rakan bernama Agus Idwar untuk menyanyi lagu ketuhanan, kehidupannya berubah sama sekali.

 "Ketika saya menyanyi lagu rock dan berbangga dengan imej rambut panjang, saya tidak mempunyai wang, bahkan album rock saya tidak laku (ketawa).

 "Sejak muncul dengan lagu Ubat Hati yang merupakan lagu ketuhanan saya yang pertama, kehidupan saya berubah dan taraf ekonomi juga makin meningkat selepas itu," ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Recent Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...