Hujan nafi bermasalah, bersiap sedia ke DFP
BAND Hujan tidak pernah kering daripada kontroversi. Terbaharu dalam ruangan pojok sebuah akhbar mingguan, band popular itu dikatakan sedang dilanda masalah dalaman.
Benar atau tidak, hanya anggota kumpulan itu yang terdiri daripada Noh (vokal), Dimas (keyboard), AG Coco (gitar), Izzat Uzaini (bass) dan Ambobzeela (dram) mampu menjawabnya.
Noh yang kini menubuhkan band baharu yang diberi nama Da Vagabons menafikan Hujan sedang dilanda ribut. Meskipun masing-masing mempunyai projek sampingan, kembara Hujan masih berjalan seperti biasa.
“Saya tidak tahu nak beri komen apa sebab kami memang tidak ada masalah seperti yang dikatakan. Kalau saya ada masalah, kenapa kami masih ada persembahan pentas bersama,” kata Noh ketika dihubungi.
Tegasnya, sebagai pemuzik bukan satu perkara baharu untuk setiap anggota kumpulan melibatkan diri dengan projek berasingan daripada band yang asal.
“Bukan saya seorang sahaja yang ada projek sampingan, semua orang pun ada. Cuma apabila kami berkumpul sebagai Hujan, kreativiti yang dikeluarkan secara berlima.
“Kami berlima mempunyai ciri yang tersendiri sebab itu bila dengar muzik Hujan kadangkala seperti lagu balada dan ada kalanya rock,” jelasnya.
Tambahnya, sesuatu yang mengarut apabila cerita band Hujan bermasalah disebarkan, walhal mereka merupakan band rock pertama yang akan menggegarkan Dewan Filharmonik Petronas pada 2 Disember depan.
“Kalau kami bermasalah, kami tidak akan mengadakan persembahan yang bagi saya cukup besar di sebuah tempat yang amat berprestij.
“Tidak lama lagi kami akan mula mengadakan latihan untuk konsert. Apa yang saya boleh katakan, konsert ini merupakan acara terbesar untuk Hujan tahun ini. Harap peminat semua akan turun padang memberi sokongan,” katanya.
Seorang lagi anggota Hujan, AG Coco juga menafikan kumpulan mereka sedang dilanda masalah. Bagaimanapun, dia tidak menafikan anggota Hujan kini sudah jarang bertemu kerana terikat dengan komitmen masing-masing.
“Kami tidak ada masalah, masih bersama apabila ada persembahan. Cuma sekarang, Dimas pulang ke Indonesia untuk menguruskan syarikatnya di sana.
“Noh sibuk dengan band baharunya, jadi kami beri ruang kepadanya berekspresi diri bersama Da Vagabons. Saya pula sibuk dengan penerbitan album beberapa orang penyanyi. Sebab itu, kami jarang berjumpa tetapi itu bukan bermakna kami ada masalah, cuma terlalu sibuk,” akuinya.
Beritahu AG, dalam bulan ini, Hujan akan memulakan produksi untuk album terbaharu mereka yang berkonsep akustik jazz atas permintaan peminat.
“Bulan ini akan mula sibuk dengan album baharu, kemudian kami akan mula dengan latihan konsert di Dewan Filharmonik Petronas yang akan diadakan pada Disember depan.
“Kesibukan kerja kami membuatkan kami tidak ada ruang bertemu tetapi Hujan masih dan akan terus bersatu sebagai sebuah band,” terang AG.
Category:
0 comments:
Post a Comment