Fuyoo!! Judika hadiahkan bakal isteri kereta sport

DI SEBALIK jadualnya yang cukup padat demi memenuhi undangan nyanyian dan mempromosikan album terbaharunya, Judika Mencari Cinta, penyanyi yang dikenali dengan nama Judika ini tetap memberi tumpuan kepada persiapan menjelang pernikahannya.
Selepas enam tahun menyulam cinta, Judika mengumumkan bakal mengahwini kekasihnya, Duma Riris Silalahi pada 31 Ogos ini. Namun, belum pun tarikh itu tiba, Judika telah mengejutkan Duma dengan menghadiahkannya sebuah kereta sport mewah.
Seperti yang dilaporkan Kapanlagi.com, bagi membuktikan lagi cintanya, Judika telah membelikan bakal isterinya itu sebuah kereta sport jenis Maserati yang mencecah harga RM117,000 sebagai hadiah perkahwinan mereka.
Menurut Judika, keputusan untuk membeli kereta berkenaan dibuat kerana dia dan Duma sama-sama meminati kereta sport.
Justeru, dia merasakan pembelian kereta itu merupakan hadiah yang paling sesuai buat Duma. "Sudah lama kami merancang mencari kereta yang akan digunakan semasa majlis perkahwinan nanti.
"Secara kebetulan saya ada rakan yang bekerja di kedai menjual kereta jenama Maserati buatan Itali, jadi kami terus memilih kereta yang sesuai. "Sebenarnya, kereta yang baru dibeli ini tidak termasuk sebahagian daripada hantaran kahwin untuk Duma. "Saya membelinya kerana kereta ini akan digunakan semasa sesi fotografi untuk acara praperkahwinan kami nanti," jelasnya.
Bagaimanapun, Judika menegaskan, pembelian kereta tersebut langsung tidak mengganggu perbelanjaan untuk persiapan perkahwinan mereka yang akan diadakan secara besar-besaran di Medan dan Jakarta.
"Tentang duit, saya tidak kisah kerana saya sudah lama membuat simpanan untuk perkahwinan. "Dengan menghadiahkan kereta ini pastinya ia akan menjadi salah satu kenangan paling indah semasa majlis perkahwinan kami serta menjadi bukti cinta saya kepada Duma," ujarnya.

Category:
0 comments:
Post a Comment